Larangan Solat Terhadap Pekerja Muslim?
- Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata akan menyiasat dakwaan sebuah syarikat di Klang, Selangor yang melarang pekerjanya bersembahyang selain pada waktu makan tengah hari. Manakala menurut wakil pekerja pula mengesahkan bahawa memo larangan tersebut adalah benar.
- Sekiranya benar, maka syarikat tersebut seharusnya dikenakan tindakan. Ia selaras dengan pematuhan hak-hak pekerja melalui pemantauan Unit Tindakan Pematuhan Perburuhan (IP) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
- Orang kafir yang duduk di bawah perlembagaan yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan seharusnya mengerti keperluan pekerja Muslim. Menurut Yusuf al-Qardawi bahawa selain daripada pembayaran jizyah dan pematuhan undang-undang, salah satu tanggungjawab non-Muslim (ahl zimmah) yang perlu dipegang adalah menjaga perasaan (sensitiviti) umat Islam.
- Al-Qardawi menjelaskan bahawa dengan itu tidak boleh bagi non-Muslim untuk mencerca Islam, Rasulullah dan al-Quran secara zahir. Bahkan, bagi menjaga sensitiviti Muslim, beliau turut menegaskan makan secara terbuka di dalam bulan Ramadan juga seharusnya dikawal bagi menjaga sensitiviti umat Islam.
- Perkara ini dikategorikan oleh Dr. Khairul Azhar Meerangani dalam perkara ‘Tanggungjawab Keamanan’ yang perlu dipelihara bersama oleh non-Muslim. Beliau menjelaskan bahawa: “warga non Muslim dilarang sama sekali daripada melakukan perkara yang boleh mengguris perasaan umat Islam seperti hasutan, provokasi keagamaan, pencabaran hak serta penzahiran syiar agama mereka dalam kalangan umat Islam.”
- Solat adalah kewajipan yang difardukan ke atas Muslim dan ia adalah syiar Islam itu sendiri. Maka non Muslim seharusnya mengerti tentang kewajipan ini. Adalah tidak masuk akal bagi non Muslim di Malaysia tidak mengetahui perkara ini.
- Adalah diharapkan agar pemimpin Muslim bangun mempertahankan hak asasi seorang Muslim dalam perkara ini. Apa gunanya diberikan kuasa andai ia tidak digunakan untuk menjaga hak-hak Islam.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

